Covid-19: Jumlah kes positif kembali catat jumlah tiga angka

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA, 2 Dis: Jumlah kes positif Covid-19 di seluruh negara mencatatkan penyusutan kepada tiga angka hari ini kepada 851 kes berbanding 1,472 kes positif yang dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah tersebut bagaimanapun terus menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh negara terus meningkat kepada 68,020 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 10,686 kes.

Katanya, daripada jumlah kes baharu itu, empat kes merupakan kes import yang di kesan mendapat jangkitan dari luar negara, manakala 847 merupakan penularan tempatan.


“Negeri-negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 334 kes (39.2 peratus) dengan negeri Selangor melaporkan sebanyak 249 kes (74.6 peratus).

“Jumlah pelaporan kes harian kedua tertinggi pula dicatatkan oleh negeri Sabah iaitu sebanyak 229 kes (26.9 peratus) dan diikuti dengan negeri Johor sebanyak 102 kes (12.0 peratus),” katanya pada sidang media hari Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 17 kes (dua peratus) yang dilaporkan pada hari ini adalah berkaitan kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara membabitkan Kluster Tembok (14 kes), Kluster Matambai (2 kes) dan Kluster PTS Sibuga (1 kes).

Katanya setakat jam 12.00 tengahari tadi, seramai 658 kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 56,969 atau 83.8 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.

Pada masa sama, sebanyak 122 kes positif Covid-19 kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 47 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Dua kes kematian turut berkaitan Covid-19 turut dilaporkan hari ini melibat dua warga emas berumur 84 dan 63 tahun.

“Kedua kes ini dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth dengan kedua-duanya mempunyai sejarah penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan asma,” tambah beliau. — DayakDaily