Covid-19: FAS belum putuskan penganjuran Piala Sarawak dan Piala Belia

Datuk Posa Majais

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, 27 Mac: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) masih belum memutuskan samada untuk menangguhkan penganjuran dua kejohanan besar tahun ini ekoran gelombang pandemik Covid-19.

Menurut Presiden FAS Datuk Posa Majais, berdasarkan perancangan awal, persatuan itu akan menganjurkan Kejohanan Piala Sarawak 2020 yang akan berlangsung di Limbang/Lawas pada hujung tahun ini dan Kejohanan Piala Belia Sarawak 2020 yang akan berlangsung di Serian pada September.

“Setakat ini, perancangan kita untuk menganjurkan dua kejohanan itu masih diteruskan mengikut tarikh yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, jika situasi Covid-19 ini masih belum reda sepenuhnya hingga tarikh tersebut, kita mungkin terpaksa menundanya ke satu tarikh baru yang akan diumumkan kelak,” katanya.

Posa, dalam itu, turut mengharapkan pandemik berkenaan berakhir sepenuhnya agar keadaan kembali pulih seperti sedia kala sekali gus membolehkan FAS melaksanakan apa jua program yang telah dirancang.

Beliau menyambut baik lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dua hari lepas.

“Pendekatan kerajaan pusat itu dilihat sebagai langkah tepat bagi memastikan penularan wabak Covid-19 ini benar-benar dapat kita bendung sepenuhnya,” katanya. — DayakDaily