Covid-19: 852 kes baharu dengan 4 kematian dan 825 pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 8 Nov: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 852 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Menurut beliau, ia melibatkan 839 kes tempatan dan 13 kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 40,209 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 11,689,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 286 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat empat kes kematian dilaporkan melibatkan kesemua warganegara.

“Dua kes dilaporkan di Sabah, dan masing-masing satu di Kedah dan Pulau Pinang. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 825 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 28,234 kes atau 70.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 94 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU)dan 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat 2 kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Ikhtisas di Selangor dan Negeri Sembilan dan Kluster Berendam di Melaka. — DayakDaily