Covid-19: 822 kes baharu, 769 pulih dan 2 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 11 Nov: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 822 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 715 kes tempatan dan tujuh kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 42,872 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 11,497 kes,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 302 kes.

“Dukacita dimaklumkan dua kes kematian dilaporkan melibatkan dua bukan warganegara di Sabah. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Sabah kekal mencatatkan jumlah tertinggi kes positif harian dengan 259 kes selain Negeri Sembilan (225), Selangor (178), Labuan (46), Kedah (17), Sarawak (14), Pulau Pinang (26), Kuala Lumpur (21), Perak (14) dan Johor (10), Melaka (6), Putrajaya (3) Perlis (2) dan Kelantan (1).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 769 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 31,073 kes atau 72.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 86 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)dan 30 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat tiga kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Haven di Lahad Datu, Kluster Karamunting di Sandakan dan Kluster Saga di Kota Kinabalu. — DayakDaily