Covid-19: 4,427 pulih dan 3,346 kes baru

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 24 Jan: Malaysia hari ini mencatat kes pulih Covid-19 harian tertinggi sejak pandemik melanda negara dengan 4,427 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 141,446 kes atau 77 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat 3,346 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini yang melibatkan 3,339 kes tempatan dan tujuh kes import.


ā€œKes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 183,801 kes.

ā€œDengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 41,667 kes,ā€ katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 950 kes. Ini diikuti oleh Sabah dengan 431 kes dan Kuala Lumpur dengan 390 kes.

Sehingga kini, tambah Dr Noor Hisham, terdapat 265 kes Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 102 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan 11 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 678 kes.

ā€œDukacita dimaklumkan terdapat 11 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 10 kes warganegara dan satu bukan warganegara.

ā€œKes-kes kematian pada hari ini melibatkan tiga kes dari Sarawak, masing-masing dua kes dari Sabah, Terengganu dan Johor serta masing-masing satu kes dari Melaka dan Selangor.

ā€œKKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,ā€ ujar beliau.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, terdapat sembilan kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan lapan kluster berkaitan tempat kerja dan satu kluster berkaitan pusat tahanan. ā€” DayakDaily