Covid-19: 4,214 kes baharu dan 10 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 1 Feb: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 4,214 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 4,205 kes tempatan dan sembilan kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 219,173 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 48,074 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan jumlah kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,362 kes. Ini diikuti oleh Johor dengan 1,068 kes dan Kuala Lumpur dengan 702 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 4,280 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 170,329 kes atau 77.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 316 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 137 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan 10 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 770 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat 10 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan semua kes warganegara.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tiga kes di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kes di Johor, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Selangor, Perak, Melaka dan Terengganu.

“KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 14 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang melibatkan sembilan kluster berkaitan tempat kerja, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi, dan dua kluster komuniti. — DayakDaily