Covid-19: 4 individu pulih, 4 kes baharu, tiada kematian

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Julai: KKM memaklumkan bahawa terdapat empat kes yang telah pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj di seluruh negara pada hari ini.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad meningkat kepada 8,524 kes.

Katanya, ia bersamaan 97.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 14 Julai 2020 pukul 12.00 tengah hari, terdapat empat kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,729 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 83 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, kesemua empat kes baharu yang dilaporkan adalah merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga individu warganegara dan satu bukan warganegera.

“Sehingga kini terdapat enam kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Justeru katanya, jumlah kes kematian di Malaysia kekal 122 kes iaitu bersamaan dengan 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. — DayakDaily

Share this article!