Covid-19:  3 kes baharu dengan 16 individu pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 29 Jun: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat tiga kes baharu jangkitan Covid-19 di Malaysia hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kes merupakan penularan dalam negara manakala satu lagi kes import.

Sehingga 29 Jun,2020 jam 12 tengahari, terdapat tiga kes baharu yang telah dilaporkan.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,637 kes. Oleh itu jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 182 kes.

“Mereka telah diasingkan dan diberikan rawatan,” katanya pada sidang media di Putrajaya  hari ini.

Beliau berkata satu kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan warganegara.

Mengulas kes penularan dalam negara, beliau berkata satu kes dikesan di Selangor melalui saringan pra prosedur bagi rawatan penyakit barah darah dan satu kes saringan tempat kerja iaitu di pasar di Sandakan, Sabah.

Pada sidang media yang sama, beliau berkata terdapat 16 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,334 kes.

“Sehingga kini, sebanyak empat kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, hanya satu kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

Justeru, jumlah kematian kumulatif kes kematian Covid-19 Di Malaysian kekal 121 kes iaitu bersamaan 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.-DayakDaily.