Covid-19: 2,720 kes baharu dan 5,718 pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Advertisement

KUCHING, 16 Feb: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 2,720 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes adalah melibatkan kes tempatan.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 269,165 kes.

Advertisement

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 44,129 kes,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,300 kes. Ini diikuti oleh Johor dengan 451 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 318 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 5,718 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 224,053 kes atau 83.2 daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 253 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 118 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan lapan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 983.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tiga kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua kes di Selangor, serta masing-masing satu kes di Sabah, Sarawak, dan Negeri Sembilan.

“Sebanyak tujuh kes kematian melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat 19 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang melibatkan 14 kluster berkaitan tempat kerja, empat kluster komuniti, dan satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi. — DayakDaily

Advertisement