Covid-19: 24 kes positif baharu dan 7 individu pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Sept: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 24 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Menurut beliau, ia melibatkan 18 kes tempatan dan enam kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 9,583 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 312 kes,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelas Dr Noor Hisham, 18 kes tempatan adalah melibatkan 16 warganegara dan dua bukan warganegara.

Manakala enam kes import pula melibatkan tiga warganegara dan tiga kes bukan warganegara.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 128 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak tujuh kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 9,143 kes atau 95.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat tujuh kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)dan empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. — DayakDaily