Covid-19: 224 anggota KKM positif setakat 10 April 2020

Dr Noor Hisham/Gambar Fail

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Apr 11: Sejumlah 224 anggota Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) telah dikesan positif jangkitan Covid-19 sehingga 10 April 2020 jam 12 tengahari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Namun katanya, tiada kes yang berpunca dari pengendalian kes yang disahkan positif dari wad Covid-19 ataupun Unit Rawatan Rapi(ICU) khususnya untuk pesakit Covid 19 di fasiliti KKM.


“Daripada jumlah 224 anggota kesihatan tersebut, 41 kes atau 18 peratus mempunyai kaitan dengan pesakit.

“Iaitu 29 kes daripada pesakit severe acute respiratory infection (SARI) dan 9 kes dari pesakit yang tidak diketahui status sebelum rawatan diberikan.

“Manakala 3 kes dari aktiviti saringan di lapangan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Justeru tambah Dr Noor Hisham, pelbagai tindakan telah diambil bagi menjaga keselamatan dan kesihatan anggota KKM.

Katanya, ia termasuk penilaian keperluan dan stok alat pelindung diri(PPE) di fasiliti bagi memastikan bekalan PPE sentiasa mencukupi.

“Semua kes SARI dan jangkitan paru paru pneumonia dianggap sebagai jangkitan Covid-19 sehingga terbukti sebaliknya.

“Memperkukuhkan penilaian dan pengasingan pesakit yang disyaki Covid-19 apabila datang ke fasiliti kesihatan serta memberikan alat-alat penutup hidung dan mulut,” ujar Dr Noor Hisham.

KKM tambah beliau tegas memastikan anggota yang merawat pesakit yang disahkan positif Covid-19 memakai PPE seperti yang disarankan.—DayakDaily.