Covid-19: 2,232 kes baharu dan 4 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 11 Jan: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 2,232 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 2,226 kes tempatan dan enam kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 138,224 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 28,554 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 557 kes. Ini diikuti oleh Johor dengan 396 kes dan Sabah dengan 374 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,006 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 109,115 kes atau 78.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 187 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 87 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 555 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat empat kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan tiga kes warganegara dan satu bukan warganegara.

“Tiga kes kematian dilaporkan di Selangor dan satu kes di Sabah. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat lapan kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Medan Idaman di Kuala Lumpur, Kluster Jelita (Sarawak), Kluster Kampung Renok (Kelantan), Kluster Kampung Geting (Kelantan), Kluster Lumut Barat (Perak), Kluster Kubang Bujuk (Terengganu) dan Kluster Kejaya (Terengganu). — DayakDaily