Covid-19: 1,925 kes baharu dan 2 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,925 kes baharu positif Covid-19 melibatkan semua kes tempatan dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 108,615 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 21,443 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 747 kes (38.8 peratus).

Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan sebanyak 360 kes (18.7 peratus) dan Pahang sebanyak 288 kes (15.0 peratus).

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,123 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 86,715 kes atau 79.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 117 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 55 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 457 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat dua kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan semua warganegara.

“Masing-masing satu kes kematian dilaporkan di Putrajaya dan Kelantan.. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat sembilan kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Seri Lanang di Selangor, Kluster Jalan Chu, Kuala Lumpur, Kluster Tapak Bina Awan Puteh di Kuala Lumpur, Kluster Integra Ikon Kuala Lumpur, Kluster Jalan Satang di Kuala Lumpur/Selangor/Pahang, Kluster Tembok Mempaga di Pahang, Kluster Timbang Dayang di Sabah, Kluster Teguli di Sabah dan Kluster Rambai di Melaka. — DayakDaily