52 terima pampasan tanah di Song, Kapit

Nanta (lima dari kiri) menyampaikan cek kepada salah seorang penerima di Song.

KAPIT, 29 Dis: Seramai 52 penerima yang terlibat dengan pembinaan jalan yang dibangunkan oleh Upper Rajang Development Agency (URDA) sepanjang lapan kilometer pertama dari Nanga Banjor hingga Nanga Makut, Katibas, Song menerima pampansan ke atas tanah milik mereka.

Pampasan tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan pampasan yang diterima penduduk terlibat manakala selebihnya akan dibayar selepas kerja-kerja pengukuran tanah selesai.

Pampasan tersebut diserahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu majlis ringkas di Song.


Di majlis tersebut, Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit turut menyerahkan cek geran ‘outright’ kepada 28 penerima terdiri daripada pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) melibatkan jumlah sebanyak RM360,000.

Ketika berucap di majlis tersebut, Nanta turut menasihati penerima terlibat supaya mengunakan peruntukan terbabit sebaiknya untuk menjalankan aktiviti yang telah dirancang oleh mereka.

Beliau juga turut menasihati penduduk yang dilalui jalan URDA itu untuk memberikan kerjasama supaya jalan dapat disiapkan mengikut jadualnya sekaligus membantu meningkat taraf sosio ekonomi penduduk di kawasan tersebut.

Turut hadir di majlis tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Datuk Seri Ambrose Blikau. — DayakDaily