Covid-19: 1,828 kes baharu dan 5 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING,  1 Mac: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,828 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,827 kes tempatan dan satu kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 302,580 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 25,542 kes,” katanya menerusi satu kenyataan.

Johor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 490 kes. Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 453 kes dan Sarawak sebanyak 220 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak  2,486 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 275,903 kes atau 91.18 peratus daripada  jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 198 kes positif Covid-19 yang sedang dirawatdi Unit Rawatan Rapi(ICU) termasuk 90 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan lima kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 1,135 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing dua kes di Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta satu kes di Melaka.

“Kesemua kes melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,”ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat tujuh kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan lima kluster berkaitan tempat kerja dan masing-masing satu kluster yang melibatkan komuniti dan kumpulan berisiko tinggi. — DayakDaily