Covid-19: 1,745 kes baru dan 7 kematian

Dr Noor Hisham fielding questions from the press. Filepix

KUCHING, 3 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,745 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,743 kes tempatan dan 2 kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 305,880 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 24,025 kes,’katanya dalam kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 640 kes. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 376 kes dan Sarawak sebanyak 139 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 2,276 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 280,707 kes atau 91.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 195 kes positif Covid-19 yang sedang dirawatdi Unit Rawatan Rapi(ICU) termasuk 95 kes memerlukan bantuan pernafasan,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan 7 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 1,148 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan 2 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan masing-masing 1 kes di Selangor, Sarawak, Sabah, Johor, dan Kelantan.

“Sebanyak 6 kes melibatkan warganegara dan 1 kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,”ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat 11 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang melibatkan 9 kluster berkaitan tempat kerja dan masing-masing 1 kluster yang melibatkan kumpulan berisiko tinggi dan komuniti.-DayakDaily