Covid-19: 1,470 kes baharu dan 3 kematian

Covid-19 file photo

KUCHING, 13 Mac: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,470 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,458 kes tempatan dan 12 kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 322,409 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 16,711 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 551 kes. Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 222 kes dan Pulau Pinang sebanyak 178 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,830 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 304,492 kes atau 94.44 peratus daripada  jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 162 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 70 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 1,206 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing satu kes di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Terengganu.

“Ketiga-tiga kes merupakan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,”ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat dua kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini dan kedua-dua kluster tersebut merupakan kluster berkaitan tempat kerja. — DayakDaily