Covid-19:  140 individu pulih dengan 10 kes baharu

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, JUN 15: Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) memaklumkan bahawa terdapat 140 kes yang telah pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad adalah sebanyak 7,873 kes.

Katanya, ia bersamaan 92.50 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.


“Sehingga 17 Jun 2020 jam 12:00 tengah hari, terdapat 10 kes baharu yang telah dilaporkan dan ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,515 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 521 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,’katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dilaporkan hari ini.

Katanya, daripada 10 kes penularan dalam negara, 3 kes melibatkan bukan warganegara manakala 7 kes di kalangan warganegara Malaysia.

”Sehingga kini, sebanyak 4 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan(CPRC) hari ini.

Justeru katanya, jumlah kes kematian di Malaysia kekal 121 kes iaitu bersamaan dengan 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.—DayakDaily