Covid-19: 1,384 kes baharu dan 6 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 23 Mac: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,384 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,375 kes tempatan dan sembilan kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 335,540 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 14,454 kes,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 625 kes. Ini diikuti oleh Johor dengan 161 kes dan Sarawak dengan 140 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,058 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 319,842 kes atau 95.32 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 148 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 62 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan enam kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 1,244 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing dua kes di Sarawak dan Selangor serta masing-masing satu kes di Kelantan dan Johor.

“Kesemua kes kematian melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat tiga kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang kesemuanya melibatkan kluster tempat kerja. — DayakDaily