Covid-19: 1,371 kes baharu dan 4 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,371 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,370 kes tempatan dan satu kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 84,846 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 13,830 kes,” katanya menerusi sidang media di Putrajaya hari ini.

Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 532. Ini diikuti oleh  Sabah sebanyak 283 kes dan Negeri Sembilan 260 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,204 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 70,597 kes atau 83.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 114 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 419 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat empat kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan tiga kes warganegara dan satu kes bukan warganegara.

“Sabah melaporkan dua kes kematian manakala Labuan dan Perak masing-masing merekodkan satu kes,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat dua kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Solar Ria di Selangor dan Kluster Senu Setia di Kuala Lumpur. — DayakDaily