Covid-19: 1,302 kes baharu dan 4 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 28 Mac: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,302 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,293 kes tempatan dan sembilan kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 341,944 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 14,380 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarawak melaporkan jumlah kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 426 kes. Ini diikuti oleh Selangor dengan 256 kes dan Pulau Pinang dengan 212 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,127 kes pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 326,309 kes atau 95.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 169 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 76 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 1,255 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan empat kes iaitu dua kes di Sarawak dan masing-masing satu kes di Selangor dan Kedah.

“Kesemua kes merupakan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujar beliau. — DayakDaily