Covid-19: 11 kes positif baharu dan 6 individu pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 Ogos: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 11 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Menurut beliau, ia melibatkan sembilan kes tempatan dan dua kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 9,285 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 189 kes,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.


Jelas Dr Noor Hisham, kesemua sembilan kes tempatan adalah melibatkan warganegara, manakala dua kes import pula melibatkan satu kes warganegara dan satu kes bukan warganegara.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 125 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak enam kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 8,971 kes atau 96.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 14 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan enam kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. — DayakDaily