Covid-19: 1,096 kes baharu dengan 1,104 pulih dan 3 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Nov: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,096 kes baharu positif Covid-19
dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,090 kes tempatan dan enam kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 54,775 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 12,843 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dua negeri yang mencatatkan kes tertinggi pada hari ini adalah Selangor iaitu sebanyak 603 kes (55.0 peratus) dan diikuti Sabah yang melaporkan sebanyak 311 kes (28.4 peratus).

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 335 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat tiga kes kematian dilaporkan pada hari ini melibatkan dua kes warganegara dan satu kes bukan warganegara.

“Kesemua kes kematian dilaporkan di Sabah dan KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 1,104 kes pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 41,597 kes atau 75.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 106 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 46 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat tiga kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Pengkalan Barat di Pulau Pinang serta daerah Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta di Perak, Kluster Bakti di Seremban, Negeri Sembilan dan Kluster Bayam Indah di daerah Kulim dan Kuala Muda di Kedah. — DayakDaily