Covid-19: 1,070 kes baharu dan 7 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 5 April: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,070 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,061 kes tempatan dan sembilan kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 352,029 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 14,278 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan jumlah kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 327 kes. Ini diikuti oleh Sarawak dengan 225 kes dan Pulau Pinang dengan 133 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,294 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 336,456 kes atau 95.60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 180 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 89 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan tujuh kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 1,295.

“Terdapat tujuh kes kematian pada hari ini melibatkan empat kes di Selangor, dua kes di Sabah, dan satu kes di Johor.

“Kesemua kes kematian melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat enam kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan lima kluster kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti. — DayakDaily