Covid-19: 1,063 kes baharu dan 5 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 16 Mac: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,063 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,059 kes tempatan dan empat kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 326,034 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 15,204 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan jumlah kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 323 kes. Ini diikuti oleh Sarawak dengan 183 kes dan Pulau Pinang dengan 175 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,365 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 309,612 kes atau 94.96 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 152 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 68 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan lima kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 1,218 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tiga kes di Sarawak dan masing-masing satu kes di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kesemua kes kematian melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat lima kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan tiga kluster komuniti dan dua kluster tempat kerja. — DayakDaily