Oleh Chris Bishop
KUCHING, 18 Mei: Rang Undang-Undang Tanah Sarawak (Pindaan) 2022 memperuntukkan hak kepada kerajaan untuk mengawal selia dan mengawal penggunaan spektrum dalam lajur di atas ruang udara di atas tanah.
Menurut Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon, ia termasuk penggunaan tanah untuk penyimpanan karbon, mengikut peraturan yang dibuat dibawah seksyen 213.
“Selain itu, ia akan memberi kuasa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk membuat peraturan berkenaan dengan penggunaan ruang udara di atas spektrum tanah.
“Dan asset-asset lain yang terdapat dalam ruangan ruang udara di atas tanah dan pembinaan, penyelenggaraan dan pendudukan mana-mana struktur dalam ruang udara itu dan penggunaan tanah untuk ‘Carbon Storage’,” kata Chukpai.
Beliau berkata demikian di dalam bahas menyokong pindaan Rang Undang-Undang Tanah Sarawak (Pindaan) 2022 bagi meminda Kanun Tanah di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, hari ini.
Dengan pindaan itu tambah Chukpai, maka penggunaan tanah akan lebih mampan dan menyeluruh serta kelestarian alam sekitar juga akan terjamin.
Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menangani fenomena perubahan iklim dalam strategi pembangunan Post Covid-19, 2030 (PCDS 2030).
“Akhirnya ini akan memberi manfaat kepada Sarawak dan rakyat keseluruhannya dengan penwujudan “New revenue Streams” bagi menjana pendapatan untuk negeri Sarawak melalui hak di atas Spectrum dan Carbon Stroge di atas tanah Sarawak selain membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak Sarawak,” katanya.
Rang Undang-Undang Tanah Sarawak (Pindaan) 2022 telah dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. — DayakDaily