Chong: SUPP sepatutnya mengembalikan wang 1MDB dengan sukarela

Chong (kiri) ditemani ADUN DAP Pending, Violet Yong di sidang media di Ibupejabat DAP di Kuching hari ini.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 23: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sepatutnya dengan sukarela mengembalikan wang yang diterima dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seawal kes tersebut didedahkan.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata SUPP tidak seharusnya menyimpan wang tersebut sehingga sekarang.

Advertisement

“Seluruh dunia mengetahui yang kes 1MDB ini adalah satu pengubahan wang haram yang terbesar.

“Pelakon dan model yang juga penerima dana tersebut telah mengembalikan wang dengan sukarela.

“Tetapi, SUPP yang merupakan sebuah parti politik dan diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah negeri terus berdiam diri,” kata Chong di sidang media di Ibupejabat DAP Negeri di sini hari ini.

Chong yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak menambah, tindakan SUPP menyembunyikan perkara tersebut menunjukan yang pemimpin mereka tidak memiliki integriti.

Katanya, SUPP sanggup mengadaikan maruah dengan hanya menerima sejumlah kecil iaitu RM188,000 daripada kesemua RM270 juta dari dana 1MDB.

“Adakah ini nilai integriti, prinsip dan maruah SUPP? Mereka memberikan sokongan padu kepada Najib pada Pilihanraya Umum Ke-14 yang lepas,” katanya.

Justeru, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu menyeru rakyat Sarawak agar berhati-hati dengan budaya kerja dan pimpinan SUPP.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menfailkan 41 kes permohonan melucutkan hak melibatkan jumlah dana bernilai RM270 juta yang diterima daripada syarikat pelaburan 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perkara ini diumumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada satu sidang media di Ibupejabat SPRM di Putrajaya pada Jun 21 lepas.

Sebanyak 41 responden (entiti dan individu) telah dikenal pasti dan permohonan telah difailkan untuk lucut hak di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001. SUPP satu-satunya entiti yang dinamakan dari Sarawak.

Transaksi paling tinggi melibatkan parti UMNO iaitu sebanyak RM212 juta dan ia turut melibatkan satu akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

SUPP menerusi kenyataan semalam berkata akan memberi kerjasama sama penuh kepada SPRM. — DayakDaily

Advertisement