Chong: Jangan peduli mereka yang cuba memainkan isu berkaitan peralihan kuasa kepimpinan PH

Chong (dua dari kanan) menyentuh bola kaca sebagai simbolik merasmikan Karnival Kempen Beli Barangan Malaysia dan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2019 di Dataran MJC, Batu Kawa semalam (Okt 18, 2019).
Advertisement

KUCHING, Okt 19: Rakyat Sarawak dinasihatkan supaya tidak mempedulikan sekelompok pihak yang cuba mengugat kestabilan kerajaan dengan memainkan isu berkaitan peralihan kuasa kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PH Sarawak yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata ini terutamanya pihak yang memainkan isu teka teki bila Tun Dr Mahathir Mohamad akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan siapa akan mengambil alih jawatannya.

“Ini semua hanyalah untuk mengalihkan perhatian terhadap tanggungjawab utama kerajaan iaitu untuk terus fokus untuk membangunkan ekonomi kita,” katanya ketika merasmikan Karnival Kempen Beli Barangan Malaysia dan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2019 di Dataran MJC, Batu Kawa, di sini, semalam.

Advertisement

Chong berkata ketika ini bukan sahaja ekonomi agak lembap tetapi suasana politik juga sedikit huru hara disebabkan sekelompok pihak juga cuba menghangatkan semangat perkauman di negara ini.

“Kita jangan hiraukan orang terbabit yang cuba menimbulkan masalah, yang cuba memainkan sentimen perkauman. Saya fikir ini adalah tugas kita sebagai kerajaan dan rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu bagi membantu ekonomi negara ini, beliau juga meminta penduduk Sarawak mengikis tanggapan yang barangan buatan Malaysia kurang berkualiti berbanding barangan import.

“Mengikut satu tinjauan yang dilakukan, lebih kurang 70 peratus rakyat Malaysia sedar dengan kempen beli barangan buatan Malaysia, tetapi malangnya hanya 40 peratus yang memandang bahawa barangan Malaysia ini ada ‘standard’ (kualiti) yang baik,” katanya.

Chong berkata kajian itu menunjukkan sebanyak 60 peratus rakyat Malaysia pula masih berpandangan yang barangan buatan tempatan adalah ‘sub-standard’ kualitinya jika dibandingkan barangan import.

“Ini satu persepsi yang salah. Barangan kita ada yang murah dan ada yang berkualiti tinggi juga, tidak semua barangan tempatan ini ‘sub-standard’ (kualitinya),” katanya.

Chong berkata negara ini malahan mengeksport berbilion barangan buatan Malaysia ke luar negara setiap tahun dan menjadi bukti barangan tersebut dipercayai warga asing termasuk rakyat China dan Indonesia sebagai lebih berkualiti.

“Malahan industri pengeluaran di Malaysia menyumbang sekitar 28 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) kita — ini satu industri yang besar,” katanya.

Ini bertentangan anggapan ramai minyak dan gas sebagai penyumbang besar kepada GDP negara ini dan mendedahkan industri perlombongan dan kuari hanya menyumbang sebanyak 8 peratus kepada GDP negara. — DayakDaily

Advertisement