Chong gesa MPP untuk menghentikan penyalahgunaan kuasa terhadap DAP

Bendera dan khemah yang dipasang di pusat gerakan DAP Batu Kawah.
Advertisement

KUCHING, April 21: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) perlu berhenti melakukan perkara yang tidak masuk akal terhadap Parti Tindakan Demokratik (DAP) hanya demi membantu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini, kata seorang pemimpin DAP Sarawak hari ini.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menyifatkan tindakan MPP ke atas mereka (DAP) adalah satu penyalahgunaan kuasa demi kepentingan politik.

“MPP harus ingat bahawa ia adalah dibiayai oleh pembayar cukai iaitu rakyat dan oleh sebab itu, tidak harus memihak kepada SUPP sahaja,” katanya pada sidang media di pusat gerakan DAP Batu Kawah, di sini.

Advertisement

Menurut Chong dalam menghadapi kempen PRU14 ini, MPP telah mengeluarkan notis kepada pusat gerakan DAP Batu Kawah yang terletak di pekan lama Batu Kawah untuk menurunkan bendera serta tidak menggunakan tempat letak kereta di situ untuk mendirikan khemah.

Sebaliknya, beliau berkata SUPP kemudian dilihat memasang khemah, sepanduk serta bendera dengan begitu di ibu pejabatnya termasuk pusat operasi SUPP di Batu Lintang dan Pending.

“Kami tahu, Datuk Dr Sim Kui Hian (Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga ADUN Batu Kawah) atau Lo Khere Chiang (ADUN Batu Kitang merangkap pengerusi MPP) mungkin bertanding di Parlimen Stampin.

“Tapi janganlah melakukan perkara yang tidak masuk akal serta menyalahgunakan kuasa hanya untuk membantu bos-bos mereka serta memberi kelebihan kepada SUPP,” katanya.

Sehubungan itu, Chong yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak menegaskan bahawa tidak akan akur dengan notis dikeluarkan MPP untuk menurunkan semua bendera termasuk khemah mereka yang telah dipasang di hadapan pusat gerakan DAP Batu Kawah itu.

MPP telah mengeluarkan notis bertarikh April 20 lalu kepada pusat gerakan DAP Batu Kawah kerana menggunakan tempat letak kereta di situ tanpa permit.

Malah atas kesalahan tersebut, pihak berkuasa tempatan itu telah mengeluarkan kompaun kepada mereka di bawah Undang-Undang Pihak Berkuasa Tempatan (Kebersihan) 1999. — DayakDaily

Advertisement