Cerita lama jadi punca serangan parang di Kuala Baram

Suspek (dua dari kiri) dibawa ke balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, Sept 17: Gara-gara mengungkit-ungkit kisah lama, sesi minum antara dua lelaki di Kampung Batu Satu, Kuala Baram, bertukar menjadi pergaduhan.

Menurut sumber, kejadian berlaku pada malam Rabu (16 Sept) di sebuah rumah sekitar jam 8 malam.


Perselisihan faham berlaku sebaik selepas salah seorang lelaki tersebut mengunkit kisah lama, namun tidak diendahkan rakannya.

Oleh disebabkan itu suspek kemudian telah masuk ke dalam rumah mengambil sebilah parang dan menyerang pengadu.

Pengadu bernasib baik tidak mengalami kecederaan kerana sempat melarikan diri dan meninggalkan motorsikal miliknya di rumah suspek.

Namun, pada pagi ini sekitar jam 8, sekali lagi pengadu datang ke rumah suspek dengan tujuan untuk mengambil semula motorsikalnya yang ditinggalkan.

Akan tetapi sekali lagi suspek telah keluar dari rumah dengan sebilah parang menyerang pengadu dan pengadu terus melarikan diri dan pergi ke balai polis untuk buat laporan polis.

Susulan laporan tersebut, polis telah menangkap suspek yang berusia 37 tahun itu di rumahnya sekitar jam 1.25 petang untuk membantu siasatan.

Polis turut merampas sebilah parang sepanjang 46 sentimeter.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. ā€” DayakDaily