Cemas, tangki minyak diesel tiba-tiba terbakar

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan sebuah tangki minyak diesel.

Oleh Dean Adam

SERIAN, April 27: Pekerja di Ladang Kelapa Sawit Kedup 1 di sini cemas apabila sebuah tangki minyak tiba-tiba terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, sebuah tangki minyak diesel berkapasiti 10,000 liter telah terbakar 40 peratus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 12.06 tengah hari.

Jelasnya, sepasukan enam anggota bomba dari BBP Serian kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar tangki minyak diesel berkenaan, namun ia tidak melibatkan struktur bangunan.

“Kerja-kerja pemadaman terus dijalankan oleh pasukan bomba menggunakan dua aliran untuk mengawal dan memadam kebakaran,” katanya di sini hari ini.

Kelihatan api marak membakar sebuah tangki minyak diesel.

Jurucakap sama menambah, kebakaran itu kemudian berjaya dipadamkan oleh dengan menutup injap pada tangki minyak tersebut.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.16 petang,” ujarnya. — DayakDaily