Calon wanita PKR fokus kepada kebajikan dan kesihatan rakyat

Parti Keadilan Rakyat logo.
Advertisement

KUCHING, 8 DIS: Tiga calon wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) melangkah ke arena politik Sarawak demi membentuk satu perubahan yang bermakna.

Calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar, Meneng Biris bersama Anie Amat di DUN Murum dan Zulhaidah Suboh di DUN Lambir berkata, fokus perjuangan adalah untuk memastikan kebajikan dan kesihatan rakyat.

“Di sepanjang tempoh pandemik Covid-19, kami telah telah turun ke lapangan di kawasan masing-masing dan sangat terkesan dengan kesusahan yang dialami oleh penduduk.

Advertisement

“Kami sering dihubungi oleh keluarga B40 yang kehilangan pekerjaan dan tidak dapat menyediakan makanan yang mencukupi dan berkhasiat untuk keluarga mereka.

“Ramai ibu bapa juga tidak dapat menyediakan susu untuk anak-anak mereka. Selain daripada itu, ramai pesakit dan orang kurang upaya turut meminta bantuan.

“Ada yang tidak mampu membeli peralatan kesihatan dan ada yang tidak dapat menampung perbelanjaan ke klinik atau hospital untuk rawatan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Beberapa inisiatif telah dikenal pasti untuk membantu rakyat sekiranya PKR mampu membentuk kerajaan dan salah satunya adalah menerusi Dana Ehsan Covid-19.

Kata mereka, PKR akan menyediakan dana khas bagi tujuan membendung jangkitan dan merawat pesakit Covid-19 termasuk memberi kit ujian saringan percuma kepada semua penduduk Sarawak.

“Selain daripada itu, bakul makanan akan disediakan buat golongan keluarga B40 yang hilang punca pendapatan akibat pandemik Covid-19 melalui Yayasan Foodbank PKR.

“Inisiatif ini juga akan memberikan bantuan susu kepada kanak-kanak keluarga daif yang memerlukan,” katanya.

Menerusi kenyataan itu, mereka juga akan memastikan Program Peka B40 dan MySalam yang telah dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2019.

Ini untuk meringankan beban pesakit dan akan diperluaskan kepada golongan M40 melalui Kementerian Kesihatan untuk mendaftar peserta baru.

“Program ini akan membantu warga emas, pesakit dan golongan Orang Berlainan Upaya untuk mendapat bantuan sosial dan peralatan kesihatan demi meringankan beban,” kata mereka. — DayakDaily

Advertisement