MPP bina tembok penahan di Kg Batu Kitang Lama

Kelihatan Lo (kiri) ketika lawatan ke tapak Projek Pembinaan Tembok Penahan di Kampung Batu Kitang Lama.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 8 Dis: Kerja-kerja pembinaan tembok penahan sepanjang 40 meter di tebingan Sungai Batu Kitang bermula hari ini.

Menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang, projek di dalam kawasan Kampung Batu Kitang Lama itu akan mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

“Ini adalah sebahagian projek pembangunan berterusan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan Batu Kitang.


“Siap kelak, kawasan di tebingan sungai ini akan lebih menarik dan mampu menarik pengunjung datang,” katanya ketika ditemui di tapak projek hari ini.

Tambah beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) Batu Kitang, projek dengan kos RM76,000 itu akan memberi manfaat kepada penduduk kampung.

Katanya lagi, MPP juga telah menghantar satu cadangan projek pengindahan tebingan Sungai Batu Kitang untuk pertimbangan kerajaan pusat.

Katanya, ia akan melibatkan lima buah kampung berhampiran dan mampu menarik pelancong datang untuk menikmati keindahan alam di sepanjang tebingan sungai.

Semuni Drahman

Sementara itu, seorang penduduk Semuni Drahman, 62, ketika ditemui mengalu-alukan usaha MPP untuk membina tembok penahan selain mengindahkan tebingan sungai.

“Dengan adanya tebingan sungai yang indah ini nanti, penduduk kampung boleh berniaga untuk menambah pendapatan masing-masing.

“Banyak pembangunan telah dibawa oleh kerajaan di sini demi manfaat penduduk, untuk itu kita akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan,” katanya. — DayakDaily