Calon PRS untuk Selangau, Lubok Antu yakin boleh memberikan kemenangan kepada BN

Rita ditemuduga wartawan selepas menerima watikah sebagai calon BN Sarawak.

KUCHING, April 25: Calon muka baharu Barisan Nasional (BN) Sarawak dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang akan bertanding di kerusi Parlimen Selangau dan Parlimen Lubok Antu meluahkan keyakinan mereka boleh memberikan kemenangan kepada BN pada pilihanraya umum ini.

Calon muka baharu terbabit bagi kerusi Parlimen Selangau, Rita Sarimah Patrick Insol, 57, yakin boleh memberi kemenangan itu kerana sudah bekerja keras menjelajah ke seluruh kawasan yang akan ditandinginya itu sejak 14 bulan lepas bagi bertemu dan memperkenalkan dirinya kepada penduduk di sana.

“Saya sudah menjelajah seluruh kawasan Parlimen Selangau selama 14 bulan yang lepas, jadi setakat ini yakin yang orang disana sudah ramai telah mengenali saya, walaupun sebagai calon BN muka baharu,” katanya selepas menerima watikah perlantikan sebagai calon BN Sarawak dari Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada pilihanraya umum ini di Ibupejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako, di sini, hari ini.

Rita berkata bukan sahaja pengundi malahan ketua-ketua akar umbi parti komponen BN lain di kawasan terbabit juga ramai sudah mengenalinya dan mereka bekerjasama rapat dengannya bagi memastikan jentera pilihanraya BN kawasan terbabit bersedia membantu kempennya nanti.

Disamping itu beliau turut menafikan anggapan ramai pihak yang penduduk Parlimen Selangau masih mahukan penyandang kawasan terbabit untuk terus menjadi wakil mereka dan sentimen itu berkemungkinan akan menyukarkannya memenangi kawasan luar bandar terbabit.

“Ini kerana dalam tempoh selama 14 bulan saya menjelajah ke seluruh kawasan Parlimen Selangau, saya mendapati kebanyakan penduduk kawasan terbabit sebenarnya mahukan perubahan dan ini berlainan sama sekali dari anggapan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, sekiranya diberikan peluang menjadi menjadi Ahli Parlimen Selangau, Rita berazam membawa lebih banyak pembangunan dari segi kemudahan infrastruktur dan juga ekonomi ke kawasan terbabit yang majoriti penduduknya golongan tua kerana golongan muda telah ramai berhijrah ke bandar.

“Banyak jalan raya di Parlimen Selangau perlu dinaiktaraf dan ada kawasan masih kekurangan kemudahan asas termasuk bagi berkomunikasi. Disamping itu saya mahu mempelbagaikan kegiatan ekonomi kepada penduduk disana melalui pertanian moden supaya mereka tidak hanya bergantung kepada peladangan kelapa sawit,” katanya.

Selain itu sekiranya menjadi Ahli Parlimen wanita kaum Iban yang pertama pada pilihanraya ini, beliau juga berazam memberikan lebih banyak sumbangan kepada usaha membangunkan wanita di luar bandar negeri ini dari pelbagai aspek dan mempunyai pengalaman melalui penyertaaannya dalam Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS).

Robert ditemuduga wartawan selepas menerima watikah sebagai calon BN Sarawak.

Manakala calon muka baharu BN bagi Parlimen Lubok Antu, Robert Pasang Alam, 52, juga yakin dapat memenangi kawasan itu kerana mempunyai kelebihan sebagai anak tempatan yang lahir di sana dan selama ini kerap melawat Lubok Antu walaupun sudah berhijrah ke Miri.

“Lubok Antu memang dekat di hati saya kerana memang lahir di sana. Saya kemudian membesar dan belajar di Miri sehingga tamat pengajian universiti, tetapi selama itu saya sentiasa kerap pulang ke Lubok Antu,” katanya.

Manakala sejak menjelajah kawasan Parlimen Lubok Antu beberapa bulan lepas bagi memperkenalkan dirinya kepada penduduk tempatan, beliau mendapati isu kerap dibangkitkan penduduk di sana ialah kekurangan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, dan bekalan air bersih yang semuanya boleh diselesaikan BN.

Disamping itu terdapat isu berkaitan tanah dan polisi kerajaan terhadap kawasan takungan air di empangan Batang Ai yang boleh diselesaikan BN dengan memperkenalkan model sosio ekonomi lebih sesuai bagi penduduk sekitar kawasan takungan air terbabit.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk Lubok Antu memberinya peluang menjadi wakil rakyat mereka walaupun calon muka baharu dan berazam tidak mengambil mudah segala isu dibangkitkan penduduk Lubok Antu walaupun hanya perkara kecil.

“Falsafah hidup saya ialah walaupun perkara itu kecil, tetapi jangan ambil mudah mengenainya. Jadi saya tidak akan mengambil mudah dan akan bekerja keras sekiranya diberi peluang menjadi wakil rakyat kawasan Parlimen Lubok Antu,” katanya yang juga berazam melawat semua rumah panjang di Lubok Antu bagi mendengar segala isu dibangkitkan penduduk di sana sekiranya berjaya menjadi wakil rakyat mereka. ā€” DayakDaily