‘Barisan calon BN Sarawak gabungan yang mantap’

Dr Saudi Narani

KUCHING, April 25: Penganalisis politik Dr Saudi Narani menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini sebagai gabungan muka lama dan baharu yang mantap, berpengalaman dan berpendidikan tinggi.

Menurutnya, semua mereka juga telah lama berkecimpung dalam politik di kawasan masing-masing dengan memegang jawatan yang sesuai di peringkat kawasan dan sudah pasti, pengalaman mereka memudahkan BN meraihkan kemenangan.

Mengambil contoh calon Parlimen Igan, beliau berkata Ahmad Johnie Zawawi, 56, mempunyai pendidikan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, UKM (1982-1985) dan pernah menjadi Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Daro (1986-1987) serta sebagai penguasa Kastam (1988-2000).

Dr Saudi menambah beliau juga telah memegang jawatan sebagai Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jemoreng dari 2000 hingga 2017 serta pernah mengurus hal pilihan raya kawasan sebagai pengarah operasi dan ejen pilihan raya bagi Igan dalam PRU12 dan PRU13.

Malah, katanya, Ahmad Johnie juga merupakan ketua penganjur bagi semua aktiviti politik dan sosial di kawasan Igan termasuk juga aktiviti kemasyarakatan, kebajikan, sukan, kebudayaan dan aktiviti keagamaan.

“Saya melihat beliau adalah paling layak dan sesuai sebagai calon berpotensi serta boleh menang di Igan,” katanya.

Dr Saudi yang juga anak kawasan Betong turut melihat pencalonan Robert Lawson Chuat sebagai calon baru di Parlimen Betong adalah pilihan tepat bagi menggantikan penyandang, Datuk Amar Douglas Uggah Embas kerana beliau berpengalaman luas sebagai bekas ADUN Bukit Saban dan Menteri Muda Kebajikan.

Namun demikian, beliau berkata peranan penting yang harus dimainkan oleh Robert adalah untuk menyatupadukan rakyat di dalam konstituensi itu, dengan memenuhi cita-cita dan harapan mereka.

“Tiga kawasan DUN di Parlimen Betong iaitu Bukit Saban, Layar dan Saribas bukan sahaja didiami etnik Iban tetapi juga Melayu dan Cina, di mana semua mereka harus diberi peluang dan ruang kemajuan dalam pembangunan tanah, pertanian, keusahawanan, latihan dan sumber pendapatan termasuk ekonomi yang stabil.

“Sekiranya beliau (Robert) lebih kerap muncul di kawasan untuk meraih populariti serta dapat memenuhi keinginan dan kehendak para pengundi, maka beliau tidak ada masalah untuk menang PRU14 ini,” katanya. — DayakDaily