Calon bebas berazam bina Kemena yang lebih kukuh dan maju

Jame Stephen

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 17 Dis: Calon bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena Jame Stephen berazam membina semula Kemena yang lebih kukuh, baik dan maju jika dipilih pada Pilihanraya Negeri (PRN) esok.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jame berkata, selama 20 tahun Kemena diwakili orang yang sama dan politik lama yang sama.

“Rakyat Kemena kena bertanya, Kemena dan Bintulu berubah untuk siapa?


“Setiap hari semakin sukar bagi keluarga biasa di Kemena untuk terus hidup, terutamanya akibat pandemik Covid-19.

“Ada yang hilang pekerjaan, harga makanan dan sayur-sayuran sentiasa meningkat tetapi pendapatan rakyat biasa tetap sama malah ada yang berkurangan,” katanya.

Tambah beliau, rakyat Kemena layak mempunyai seorang pemimpin yang akan betul-betul berkhidmat demi memperjuangkan hak mereka.

Katanya, rakyat mahukan infrastruktur asas, pekerjaan, kesihatan, pendidikan dan rancangan pembangunan ekonomi yang lebih baik.

“Kini sudah tiba masanya untuk rakyat Kemena bangkit dan membuat perubahan yang akan memastikan semua keluarga Kemena dapat hidup dengan bermaruah, maju, sejahtera,” katanya.

Jame yang menggunakan lambang perahu menyeru semua rakyat Kemena untuk turun mengundi pada esok dan memangkah calon nombor 4 di kertas undi. — DayakDaily