‘Call Centre’ judi dalam talian diserbu di Kuching

Polis membuat siasatan di lokasi kejadian.

KUCHING,17 Jun: Sebuah premis kediaman yang dijadikan pusat pengoperasian judi dalam talian (Call Centre) di Jalan Tun Jugah, diserbu dalam satu operasi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata seramai enam individu terdiri daripada lima warga negara Indonesia dan seorang warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 23 tahun ditangkap dalam operasi tersebut.

Jelasnya, kesemua suspek dipercayai pekerja di premis tersebut.


“Premis ini didapati beroperasi 24 jam dengan setiap syif dibahagikan kepada 12 jam.

“Sindiket ini juga dipercayai telah beroperasi selama lebih kurang 2 bulan dengan keuntungan lebih RM4,000 hingga RM5,000 sehari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dedah beliau, modus operandi sindiket adalah dengan mempromosikan judi dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp, Telegram, WeChat dan juga Facebook.

Polis turut merampas pelbagai peralatan komputer dan telefon bimbit.

Kesemua suspek dan rampasan dibawah ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — DayakDaily