This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 15 Jun: Polis Sarawak akan kemuka cadangan membina lokap pusat di Kuching, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri.
Beliau memberitahu cadangan tersebut akan dikemukakan kepada Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman.
“Kita memang bercadang menghantar permohonan ke Bukit Aman untuk membuka lokap pusat di Sarawak dan cadangan lokasi adalah di Kuching,” katanya semasa sidang media untuk kes dua tahanan lari dari lokap Balai Polis Tapah semalam.
Beliau terdahulunya ditanya pemberita sekiranya ada rancangan pembinaan lokap berpusat di Sarawak.
Selain itu, Mohd Azman juga memberitahu telah melawat ke semua balai polis di Negeri ini dan dalam proses menyiapkan laporan khas mengenainya.
“Laporan khas tersebut adalah mengenai keadaan dan persekitaran balai-balai polis di Sarawak yang perlu ditambah baik, terutamanya dari segi infrastruktur,” katanya.
Sementara itu, operasi hari ketiga Op Kesan dan Op Tutup bagi memburu dua tahanan warga Indonesia yang dilaporkan lari dari lokap Balai Polis Tapah diperluaskan kawasan percariannya.
“Polis yang terlibat di dalam operasi pada hari ketiga turut ditambah kepada kekuatan seramai 24 pegawai kanan polis dan 170 pegawai rendah polis.
“PDRM menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat ke talian 082-861236 (Balai Polis Tapah) dan 019- 5629876 (HP BP Tapah),” katanya. — DayakDaily