Cadangan Pusat Kanser Sarawak, Kerajaan Persekutuan ambil tindakan susulan – TPM Fadillah

Fadillah merasmikan Kempen Kesedaran Kanser 2023 di Klinik Kesihatan Petra Jaya.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Feb: Kerajaan Persekutuan akan membuat tindakan susulan berhubung hasrat Sarawak mewujudkan Pusat Kanser di negeri ini.

Timbalan Perdana Dato Sri Fadillah Yusof berkata, cadangan daripada kerajaan Sarawak sudah diterima dan rundingan kini sedang berlangsung.

Advertisement

“Yang dicadangkan ialah kerajaan negeri akan membina bangunan fizikal.

“Kemudian kerajaan persekutuan akan menyediakan dari segi doktor-doktor dan khidmat sokongan termasuk peralatan dan sebagainya,” katanya.

Fadillah berkata demikian pada sidang media di Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Kanser 2023 di Klinik Kesihatan Petra Jaya hari ini.

Tambah beliau, semua perincian kepada cadangan tersebut masih di peringkat rundingan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

“Tetapi hasratnya ialah supaya Sarawak ada Pusat Kanser sendiri,” ujar Fadillah yang juga Menteri Perladangan Dan Komoditi.

Baru baru ini Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan Kerajaan Sarawak bersedia membina sebuah pusat kanser menggunakan dana negeri menjelang akhir tahun ini.

Menurut Abang Johari, pusat itu akan menyumbang kepada penjagaan kesihatan wilayah ini dan memenuhi keperluan pesakit kanser dari Sarawak, Sabah dan negara jiran.

Katanya, Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan membina bangunan yang menelan kos sekitar RM800 juta.

Manakala kerajaan Persekutuan menyediakan tenaga pakar dan peralatan. — DayakDaily

Advertisement