KUCHING, Nov 8: Kerajaan pusat bercadang menghubungkan Sarawak terus dengan Sabah dengan membina laluan lencongan memintas negara Brunei dalam fasa kedua pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.
Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata negara Brunei dicadangkan dipintas lebuhraya tersebut dengan lencongan jalan Miri-Lawas-Sindumin dengan perubahan berkenaan telah diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Fasa pertama (pembinaan) Lebuhraya Pan Borneo sedang berjalan dan fasa keduanya sedang dirancang. Perdana Menteri telah mengumumkan akan ada perubahan laluan dalam fasa kedua dengan memintas Brunei iaitu dengan (lencongan) jalan Miri-Lawas-Sindumin,” katanya ketika menyertai sesi debat Belanjawan 2019 Kerajaan Negeri di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di Petra Jaya, di sini, semalam.
Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan berkata lencongan lebuhraya terbabit dijangka akan membuka kawasan utara pedalaman Sarawak bagi aktiviti pertanian dan peluang perniagaan kepada penduduk yang tinggal sekitar kawasan itu.
“Terdapat beberapa rumah panjang sekitar kawasan itu, dan penghuninya akan mendapat manfaat daripada perhubungan yang akan lencongan ini sediakan,” katanya.
Beliau menjangka lencongan terbabit juga akan mengalakkan pelancongan kerana menjadikan perjalanan ke tempat menarik di utara negeri ini akan lebih mudah termasuk ke Mulu, Gunung Murud, Batu Lawi dan Batu Buda di Limbang yang mempunyai potensi besar dalam pelancongan tetapi destinasi tersebut kurang dipromosikan.
“Ianya juga akan menjadi garis hayat bagi Limbang kerana ketika ini disana ada satu lebuhraya dari Miri ke Temburong yang memintasi Limbang. Lencongan yang dicadangkan ini akan menghubungkan Limbang, membawa galakan yang amat diperlukan aktiviti ekonomi disana,” katanya.
Tambahnya dengan ada lencongan itu, satu jalan akan menghubungkan Long Pa Sia di Sabah dari bahagian Long Semadoh yang membuka satu koridor di tanah tinggi Lawas dengan Sabah serta mengalakkan ketibaan pelancong antara negeri dan pastinya memberi manfaat kepada penduduk tempatan.
Katanya secara praktikalnya Lebuhraya Pan Borneo yang memintas Brunei juga akan memudahkan kalangan pesakit dari luar bandar Baram, Bario dan Ba’kelalan mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Miri atau hospital di Kota Kinabalu. — DayakDaily