Cadangan cuti sekolah berperingkat tidak sesuai – Fatimah

Dato Seri Fatimah Abdullah
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 12: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Masyarakat, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak tidak bersetuju dengan cadangan supaya cuti sekolah dilaksanakan secara berperingkat.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia sewajarnya memikirkan peningkatan dan meningkatkan destinasi pelancongan tempatan berbanding mencadangkan cuti sekolah secara berperingkat.

Advertisement

Jelas beliau, ini adalah kerana ia boleh membawa implikasi kepada pendidikan, kebajikan serta kesejahteraan para pelajar.

“Sepatutnya, para pelajar sama ada di peringkat sekolah rendah dan menengah tidak wajar dijadikan sebagai penampung kepada agenda bagi menjana sektor pelancongan.

“Kita juga melihat cadangan seumpamanya janggal kerana ia boleh menjejaskan sistem persekolahan yang telah disusun secara menyeluruh setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan media.

Fatimah menambah, selain itu pihaknya melihat cadangan cuti sekolah berperingkat tersebut hanya akan menyukarkan percutian bersama keluarga.

Ini kerana ujarnya, perbezaan hari cuti sekiranya anak masing-masing bersekolah akan menyukarkan pelajar bersama keluarga untuk keluar bercuti bersama.

Fatimah sebelum itu mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, supaya cuti sekolah bagi tiga penggal pertama persekolahan dibuat secara berperingkat mengikut negeri yang biasanya pada Mac, Jun dan September.

Kata Muhammad Baktiar, mungkin ianya boleh bahagikan negeri di kawasan utara, selatan dan pantai timur supaya tempoh minggu cuti sekolah di negeri ini berbeza antara satu sama lain.

“Menerusi cadangan itu kawasan tumpuan pelancong dalam negara akan menerima jumlah kunjungan pelancong lebih sekata sepanjang masa dan bukannya seperti keadaan sekarang apabila keadaan menjadi terlalu sesak menjelang tiba cuti sekolah,” katanya. — DayakDaily

Advertisement