Cabaran getir buat Kuching FA jika saingan Liga Premier bersambung pada September

Fazzrudin Abdul Rahman
Advertisement

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, Mei 13: Ketika banyak pasukan menerima baik cadangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyambung saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada September depan, pasukan Liga Premier, Kuching FA pula berpandangan berbeza.

Menurut pengurus pasukan itu, Fazzrudin Abdul Rahman banyak implikasi kurang enak terutama dari aspek keselamatan pemain bakal dihadapi pasukan itu jika cadangan MFL itu tetap diteruskan.

Advertisement

Ketika dihubungi hari ini, Fazzrudin berpendapat penyambungan liga pada September nanti akan memberi cabaran yang besar kepada pasukannya.

“Dari segi keselamatan, sudah tentu pasukan kami akan lebih terdedah kepada wabak Covid-19 kerana kami terpaksa menggunakan penerbangan setiap kali perlawanan di tempat lawan. Risiko agak tinggi bagi pihak Kuching FA.

“Selain itu, adalah tidak adil bagi Kuching FA dan bagi pasukan lain untuk hanya menghabiskan sisa perlawanan dan kedudukan akan dikira selepas berakhir satu pusingan sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ADUN Tupong itu bagaimanapun yakin MFL telah melihat dari semua aspek ini dan membuat keputusan yang terbaik demi keselamatan dan demi bolasepak negara.

Kuching FA ketika ini menduduki tangga ke-11 Liga Premier dengan hanya mengutip satu mata dari empat perlawanan.

Dalam pada itu, beliau berkata Kuching FA telah memulakan pelarasan gaji pemain dan pegawai bermula pada bulan ini hingga berakhir musim Liga Malaysia 2020 selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jelasnya, Kuching FA akan mengikut segala garis panduan berkenaan seperti yang telah dimaklumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam pada awal bulan ini.

“Seperti yang pernah kita nyatakan sebelum ini, Kuching FA akur dengan keputusan MFL dan FAM kerana ia adalah cabaran yang harus diterima oleh semua pasukan sama seperti industri-industri lain yang turut terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

“Selepas berbincang dengan pemain dan pegawai, kita sebulat suara akan membuat pelarasan gaji hingga musim liga berakhir kerana semuanya faham dengan situasi dihadapi ketika ini,” katanya.

Menurut Fazzrudin, pelarasan gaji pemain dan pegawai itu membabitkan jumlah dari lima hingga 15 peratus.

Ujarnya, pemain import juga tidak terkecuali dalam pelarasan gaji pemain dan pegawai itu. — DayakDaily

Advertisement