Buruh binaan maut dilanggar kereta di Bintawa

Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

KUCHING, 4 Mei: Seorang buruh binaan maut selepas dilanggar sebuah kereta di Jalan Bintawa, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak SUPT Bingkok John berkata mangsa iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun semasa kejadian menunggang sebuah motosikal sekitar jam 7.30 pagi.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, mangsa telah dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan mangsa.

Impak perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki.

Anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa yang berasal dari Kampung Kerangan, Serian telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik HUS untuk tindakan selanjutnya.

Pemandu kereta yang turut mengalami kecederaan ringan kini ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily