Buku ‘Sarawak Women In Safety and Security.. In Good Hands’ dilancar

Fatimah (tiga kiri) menyaksikan Uggah menyerahkan buku kepada Sim dari Bomba Sarawak, yang merupakan salah seorang personaliti buku.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 Sept: Buku “Sarawak Women In Safety and Security.. In Good Hands” yang mengisahkan sumbangan 22 wanita Sarawak dalam pelbagai bidang dilancarkan hari ini.

Majlis pelancaran buku tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini.


Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata majlis tersebut adalah sebagai penghormatan serta penghargaan kepada 22 personaliti buku yang telah memberi sumbangan dalam bidang keselamatan.

“Buku memberi penghargaan kepada wanita Sarawak yang telah menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan negeri di sepenjang perkhidmatan mereka dulu dan sekarang.

“Ia mengisahkan pencapaian dan sumbangan mereka di bidang politik, perdagangan, pelajaran, kesukarelaan, seni, sukan dan kesihatan,” kata Fatimah pada ucapan di majlis tersebut.

Ujar beliau lagi, penglibatan wanita dalam memastikan masyarakat dan Sarawak selamat dan aman bukanlah satu fenomena baru.

Seperti yang dijelaskan oleh penulis buku katanya, isu dan ancaman keselamatan wujud sejak pentadbiran Brooke, zaman Jepun, zaman Pemberontakan Komunis, dan seterusnya zaman Konfrantasi.

Pelancaran buku tersebut, menurut Fatimah, bertepatan dengan Sambutan Hari Wanita 2019 Peringkat Negeri Sarawak yang akan diraikan pada 28 September, bertempat di Pusat Konvensen Borneo Kuching (BCCK).

Tema sambutan pada tahun ini ialah  “Sarawak Women In Safety and Security.. In Good Hands”.

Pada majlis itu, Uggah turut menyerahkan Buku “Sarawak Women In Safety and Security.. In Good Hands” kepada semua 22 personaliti buku.

Kesemua 22 personaliti buku ialah Anna Kuek, Davina Agnes Enteli, Jamaiyah Sulaiman, DSP Jennifer Atok, DSP Maria Rasid, Maureen Sim Ah Lian, SAC Norzanah Buang, Margaret Philip Bedus, Gill Raja, Wong Siong Ting, Joha’anie Wahap.

Ini termasuk adalah Miza Ahmad Zaidi, Nurasiah Putit, Sabrina Kutu, Sofariza Kelvin Sembai, Asiah Asmara, Dato Sharifah Halimah Tuanku Taha, Dato Dayang Fatimah Johari, Sawiyah Sulehan, Dato Norhyati Mohd Ismail, Lizzie Wong dan Dr Rita Manurung. — DayakDaily