KUCHING, 21 Feb: Buku ‘Sarawak Woman In Scholarly Writting’ yang menghimpunkan tulisan dan hasil kajian 51 wanita negeri ini di dalam pelbagai bidang dilancarkan hari ini.
Pelancarannya telah disempurnakan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib pada majlis yang diadakan di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah dalam ucapan aluan berkata, hasil kajian dan inovasi yang dibukukan ini menambah pengetahuan asas yang membawa kepada penemuan lain.
“Sebagai pengkaji sesungguhnya ia adalah satu profesion yang menarik. Hasil kajian ini membantu kita memahami sesuatu perkara, tentang bagaimana ia berlaku .
“Ia juga membantu kerajaan menggariskan polisi dan program untuk memenuhi keperluan negara dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Tambah Fatimah, hasil kajian daripada wanita wanita-wanita ini juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Selain memenangi anugerah katanya. mereka juga dijemput menghadiri pelbagai persidangan antarabangsa dan seminar.
“Ini sekaligus menceritakan impak kajian mereka kepada komuniti dunia. Bukan sahaja para pengkaji ini membina reputasi diri tetapi mereka membawa bersama persatuan yang mereka wakili, termasuk Sarawak,” ujar Fatimah.
Pada majlis itu, Toh Puan Raghad turut menyampaikan sijil penghargaan kepada kesemua 51 personaliti buku. — DayakDaily