KUCHING, 5 Nov: Pengenalan buku Garis Panduan Pengimportan Tumbuhan, Produk Tumbuhan dan Artikel Terkawal memperkukuhkan langkah kawalan biosekuriti di Sarawak, kata Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Dr Abdul Rahman berkata, garis panduan ini akan menjadi rujukan penting bagi pengimport dan pengeksport dalam memastikan setiap produk pertanian yang memasuki Sarawak memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang telah ditetapkan.
Katanya, langkah ini diambil berikutan risiko kemasukan serangga perosak yang berpotensi merosakkan tanaman utama seperti durian, pisang, kelapa, nanas dan lada.
“Langkah pencegahan ini penting bagi memastikan kita tidak mengalami masalah yang sama seperti serangan ‘citrus greening disease’ pada 2007 yang merosakkan lebih 1,200 hektar ladang limau di Samarahan.
“Hingga kini, kesan serangan tersebut masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Libat Urus Fasilitasi Perdagangan Pertanian 2024 dan Pelancaran Buku Garis Panduan Pengimportan Tumbuhan, Produk Tumbuhan dan Artikel Terkawal di Kuching hari ini.
Ujarnya, garis panduan ini turut menyokong sasaran Sarawak untuk menjadi pengeksport makanan bersih menjelang 2030.
Meskipun wilayah ini berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada produk import, Dr. Abdul Rahman mengakui terdapat keperluan untuk mengimport produk tertentu demi menampung permintaan yang tidak dapat dipenuhi oleh pengeluar tempatan.
“Sebagai contoh, kita dapat menghasilkan cili di Sarawak, tetapi kerap kali cili diimport dalam jumlah besar, terutamanya dari Vietnam, bagi menampung kekurangan bekalan.
“Keadaan ini menjejaskan pasaran petani tempatan, dan kita perlu memastikan produk import tidak mengganggu pengeluaran serta pendapatan petani kita,” tambah beliau. — DayakDaily