Bukit Aman minta Anwar hadir bantu siasatan

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Advertisement

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUALA LUMPUR, 15 Okt.: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta untuk hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman esok (16 Oktober) .

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kehadiran Datuk Seri Anwar di Bukit Aman itu adalah bagi membantu siasatan berhubung penyebaran senarai nama 121 ahli parlimen yang menyokongnya presiden PKR itu sebelum ini.

Advertisement

“PDRM sedang menjalankan satu penyiasatan ke atas penyebaran senarai nama terbabit di media sosial dan siasatan tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan Dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, sehingga kini sejumlah 113 laporan polis diterima berhubung penyebaran senarai nama tersebut dan PDRM tegasnya sedang menjalankan siasatan lanjut berkenaan dakwaan terbabit yang tersebar di media sosial.

Justeru, PDRM kata Huzir meminta Presiden PKR itu untuk menghadirkan dirinya di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman esok untuk memberikan keterangan berhubung kes tersebut.

Orang ramai dalam pada itu katanya dinasihatkan agar tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin atau berita yang mempunyai kecenderungan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarat.

“Bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat, kita nasihatkan orang ramai untuk menyemak kesahihan berita, kenyataan atau khabar angin sama ada di peroleh dari media sosial atau sebagainya dengan pihak yang lebih mengetahui bagi mengelakkan mereka turut terlibat dalam menyebarkan berita palsu.

“Ini penting kerana berita seperti ini mempunyai potensi untuk mencetuskan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan yang seterusnya boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,”katanya. -DayakDaily

Advertisement