Oleh Cornelius Kadir Edison
KUCHING, 21 Okt: Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak wajar dalam keadaan negara ketika ini sedang berhadapan gelombang ketiga penularan pandemik wabak Covid-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, semua pihak ketika ini seharusnya menumpukan kepada usaha untuk memerangi dan memutus rantai penularan Covid-19, bukannya tertumpu kepada agenda politik peribadi.
Katanya, jika berlaku undi tidak percaya di Parlimen dan ia berjaya, negara terpaksa berdepan dengan satu pilihan raya umum.
“Bila berlaku pilihan raya umum, kita tahulah apa yang berlaku di Sabah sebelum ini dan itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita,” katanya.
“Situasi di Sarawak berbeza kerana tempoh penggal Dewan Undangan Negeri Ke-11 tinggal kurang sembilan bulan daripada sekarang sekali gus menyebabkan Pilihan Raya Negeri sesuatu yang tidak dapat dielakkan,” katanya.
Tegas Abdul Karim, secara peribadi beliau merasakan gerakan untuk membuat usul tidak percaya terhadap perdana menteri pada persidangan Parlimen bulan depan bukan sesuatu tindakan yang bijak.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak berkata, semua pihak termasuk pembangkang harus menghormati kehendak rakyat terutamanya ketika berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi akibat Covid-19 ketika ini.
Bagaimanapun, kata Abdul Karim, jika usul undi tidak percaya diteruskan, perdana menteri tiada pilihan selain berdepan dengan situasi tersebut.
“Cara lain jika pembangkang ingin meneruskan usul tersebut adalah dengan mengundi menentang belanjawan yang akan dibentang pada penghujung minggu pertama bulan depan.
“Berdasarkan sistem ‘Westminister’, jika belanjawan yang dibentangkan kerajaan dikalahkan atau tidak berjaya diluluskan ia sama tarafnya dengan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan,” katanya.
Tambah beliau, dalam situasi tersebut, perdana menteri perlu meletakkan jawatannya dan mengadakan pilihan raya umum untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi. — DayakDaily