Buda dan Malvern raih perak di Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Ke-53 di Batam, Indonesia

Dari kanan: Buda, Philomena dan Malvern melakar kejayaan di Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Ke-53 di Batam, Indonesia.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Ok 2: Dua atlet bina badan Sarawak mempamerkan aksi cemerlang pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Ke-53 di Batam, Indonesia yang bermula Sept 27 lepas.

Atlet berpengalaman, Buda Anchah terus cemerlang di peringkat antarabangsa walaupun telah mencecah umur 48 tahun.


Pada kejohanan itu, Buda menyumbang perak dalam kategori Lelaki Senior 70kg dan gangsa dalam kategori Lelaki Master 80kg.

Selain Buda, Malvern Abdullah turut mengharumkan nama Malaysia dan Sarawak setelah beliau menyumbang perak dalam kategori Lelaki Senior 60kg.

Buda (kanan) memenangi perak di kategori Senior 70kg.

“Pencapaian pasukan dari Sarawak kali ini dianggap cemerlang dan ini hasil latihan keras semenjak April lepas.

“Ucapan terima kasih juga kami berikan kepada kerajaan Sarawak yang telah banyak membantu menguruskan penyertaan dan latihan selama ini,” kata Buda kepada DayakDaily.

Beliau dan rakan-rakan sepasukan sekali lagi berharap kerajaan negeri akan terus memberi sokongan.

Katanya, dalam tempoh empat minggu lagi mereka akan menyertai kejohanan bina badan dunia di Jeju, Korea Selatan iaitu pada Nov 6.

“Kami akan berusaha memperbaiki kelemahan dan ingin melakukan yang terbaik pada kejohanan dunia itu nanti,” tambah Buda.

Pada kejohanan yang sama, atlit bina badan wanita Sarawak, Philomena Dexclyn menduduki tempat kelima pada kategori Model Fizikal 165cm.

Pasukan bina badan akan kembali ke Sarawak esok hari dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada jam 9.50 malam. — DayakDaily