Bubar Parlimen, pihak bertanggungjawab berdepan tindak balas rakyat — Wan Junaidi

Kelihatan Wan Junaidi (dua dari kiri) pada sidang media di Sebuyau hari ini (9 Ogos 2021).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

SEBUYAU, 9 Ogos: Pihak atau parti yang menyebabkan pembubaran Parlimen berdepan risiko daripada tindak balas rakyat, tegas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pada ketika pandemik Covid-19 yang semakin meruncing katanya, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil yang mampu menangani masalah tersebut.

Advertisement

“Sepatutnya kerajaan yang ada sekarang kekal sehingga habis penggal, iaitu lebih kurang satu tahun lebih lagi.

“Maknanya, kalau ada undi percaya pada bulan September ini sebaiknya adalah mempertahankan kerajaan sedia ada sehingga tiba masanya diadakan pilihanraya umum,” katanya.

Wan Junaidi berkata demikian pada sidang media selesai Perasmian Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change di Sebuyau hari ini.

Tambah beliau yang juga MP Santubong, kerajaan sedia ada (Perikatan Nasional) akan kekal sekiranya undi percaya memihak kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kalau tidak, jelas beliau, kerajaan PN ada pilihan untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen seterusnya memberi laluan kepada pilihanraya umum.

“Persoalannya ialah sekarang bukan masa yang sesuai untuk pembubaran Parlimen dan mengadakan pilihanraya umum memandangkan masalah Covid-19 masih melanda negara.

“Di Semenanjung (Malaysia) khususnya di Selangor, kes positif harian sangat tinggi dan begitu juga di Kedah.

“Di dalam keadaan ini, maknanya pembubaran dewan untuk mengadakan pilihanraya umum bukan masa yang sesuai. Kita masih dalam keadaan amat kritikal dalam berdepan Covid-19,” katanya.

Baru-baru ini Muhyiddin telah menyembah maklum Yang di-Pertuan Agong bahawa keabsahan sebagai Perdana Menteri dan kedudukan kerajaan PN akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Parlimen September ini. — DayakDaily

Advertisement